Sapaan dan Adab

Orang Nepal kebanyakannya adalah mesra dan suka berbual-bual. Gaph garnu atau berbual-bual ini bolehlah dikira sebagai amalan untuk mengisi masa lapang oleh penduduk Nepal. Oleh itu, tidaklah sukar untuk memulakan perbualan di Nepal kerana kita boleh berhubung dengan penduduk Nepal dengan menggunakan bahasa campuran. Bahasa Inggeris adalah subjek yang wajib dipelajari di sekolah-sekolah Nepal. Ramai orang yang berminat untuk berlatih bercakap bahasa Inggeris jadi kedatangan orang asing ke Nepal merupakan suatu perkara yang positif pada penduduk Nepal.

Walau bagaimanapun, penggunaan beberapa frasa dalam bahasa Nepal sebenarnya boleh menambahkan lagi kefahaman kita terhadap budaya setempat dan membolehkan kita menikmati perjalanan yang lebih menyeronokkan.

Tegur Sapa

Berikut adalah topik-topik ranting yang dibicarakan dalam topik umum ini:
Bahasa Badan dan Tatasusila

Kebudayaan Nepal dibentuk oleh kebudayaan orang Brahmana dan kebudayaan orang Arya. Selain itu, terdapat juga kebudayaan berdekatan seperti kebudayaan Tibet dan kebudayaan suku kaum kecil yang mendiami rantau Nepal. Oleh itu, para pelawat mestilah berhati-hati dan sensitif dengan perbezaan-perbezaan supaya tidak timbul masalah. Masyarakat Nepal sebenarnya agak terbuka dengan orang asing dan mereka boleh memaafkan orang asing yang jahil tetapi merendah hati.

Orang Nepal selalunya berpakaian labuh dan mereka jarang menunjukkan kaki di khalayak ramai. Oleh itu, mereka suka memakai seluar panjang. Kaum lelaki pula jarang keluar dari rumah dengan berlenggeng atau tidak berbaju. Kaum wanita boleh memakai skirt. Mereka akan memandang pelik wanita yang memakai seluar atau seluar pendek. Jika perlu mandi di tempat awam seperti air terjun pastikan anda pakai seluar atau pakai baju lengkap bagi wanita. Pantang larang awam mereka rasanya hampir sama dengan pantang larang orang Melayu. 

Dilarang sentuh atau menunjukkan benda menggunakan kaki. Kaki dianggap sebagai bahagian yang menghina dalam kebudayaan Nepal. Jika kita terlanggar orang maka kita boleh sentuh tubuh badan dia atau tangan dia sedikit dan sentuh kepala sebagai tanda memohon maaf. 

Dilarang bercumbu di khalayak ramai dan dilarang berpegang tangan bagi yang berlainan jantina. Jangan pelik jika melihat orang Nepal yang sama jantina berjalan sambil pegang tangan atau berkepit kerana itu memang budaya mereka. Kita di sini yang pernah melihat pekerja migran Nepal yang lelaki berkepit pun memang rasa pelik, namun itu memang budaya mereka. 

Beri Tips atau Hadiah

Memberi buah tangan atau tip untuk perkhidmatan tertentu memang dialu-alukan. Jika mahu berikan buah tangan, berikan barang keperluan seperti buku, makanan atau pakaian berbanding dengan memberi benda yang tidak bermanfaat seperti gula-gula, rokok atau duit.

Lebih sesuai lagi jika kita berikan sedekah di kotak-kotak derma untuk projek pemeliharaan kawasan bersejarah, kuil-kuil atau biara supaya wang yang disedekahkan itu dapat pergi ke tempat yang betul serta sepatutnya.